Monday, July 27, 2009

Sirah al-lmam Zayn al-Fuqaha (imam hiasan fuqaha) Asy Syafie yang dilupai oleh ramai pengikut mazhabnya

Sejarah Ringkas Imam Asy-Syafie

Imam Syafie lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M di atas nama Muhammad bin Idris Asy-Syafie. Beliau mempunyai pertalian darah Quraish dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah untuk ibadah haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana menuntut ilmu. Di Mekah Asy-Syafie memulakan perguruannya kepada Muslim bin Khalid al-Zanji, mufti kota Mekah di ketika itu dan juga kepada Sufyan bin Uyayna.

Kitab ilmu yang paling terkemuka ketika itu ialah Al-Muattha’ karangan Imam Malik, dan Asy-Syafie dalam usia mudanya 15 tahun telah menghafal keseluruhan kitab tersebut. Asy-Syafie kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, Imam Malik bin Anas. Ketika itu Asy-Syafie berusia 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kematiannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Asy-Syafie sebagai murid terpintar Imam Malik mulai diiktiraf ramai. Asy-Syafie mengambil alih sebentar kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Jawatan Asy-Syafie tidaklah lama di Yaman, apabila beliau dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Disamping itu berbagai konspirasi lain di jatuhkan ke atasnya, sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Bagdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Sewaktu didalam penjara di Baghdad, Imam Syafie bermimpi:

"Suatu malam ketika saya dalam penjara di Baghdad, saya telah bermimpi didatangi oleh Sayidina Ali ra. Sayidina Ali ra. telah duduk dihadapan saya. Beliau telah memecat cincin yang dipakainya, dan kemudian menyarungkannya ke tangan saya.

Saya telah menceritakan tentang mimpi saya tersebut kepada Imam Muhammad bin Hassan dan meminta beliau supaya mencari seseorang yang handal dalam ta'bir mimpi. Apabila penta'bir mimpi datang, saya telah menceritakan kepadanya tentang mimpi tersebut."

Katanya "Jika benar mimpi tuan guru itu, suatu hari nanti segala pandangan dan pendapat tuan guru akan tersebar dan diamalkan di seluruh pelosok dunia dimana sahaja sampainya dan tersebarnya nama Sayidna Ali RA."- (Imam Baihaqi meriwayatkan dari Imam al-Rabi')

Asy-Syafie dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rasyid dan berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Asy-Syafie membela dirinya dengan berbagai hujjah-hujjah agama menyebabkan Khalifah Harun sendiri tertarik kepadanya. Asy-Syafie dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Asy-Syafie telah berkenalan dengan tokoh-tokoh Imam Abu Hanifah dan duduk berguru dengan mereka, terutamanya dengan Imam Muhammad al-Hasan Asy-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang utama bagi Asy-Syafie, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membandingkan antara dua ajaran fiqh Islam, iaitu ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, Asy-Syafie kembali berhijrah ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Mekah dan di sana beliau di beri penghormatan sebagai tokoh besar dan dipelawa untuk memberi ceramah dan kuliah. Asy-Syafie kini mula diiktiraf sebagai seorang Imam, dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu-Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran asal Imam Malik.

Pada tahun 194H/810M, Imam Syafie kembali semula ke Baghdad dan beliau di pelawa untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam Syafie kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin Ali pernah di tanya akan kelebihan Imam Syafie berbanding tokoh-tokoh lain di ketika itu, maka beliau menjawab: Asy-Syafie mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan I’tiqad yang benar, seorang yang sangat murah hati , mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ Rashidun dan amat pandai mengarang.

Dalam usahanya untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, beliau menghadapi berbagai tentangan dari pengikut-pengikut Imam Malik yang taasub kepada guru mereka. Di suatu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kulaih Maghribnya di Mesir, Imam Syafie telah dipukul oleh pengikut-pengikut Imam Malik yang fanatik sehingga menyebabkan beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia. Di ketika itu, Imam Syafie juga sendang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Pada usia 54 tahun, Imam Syafie meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir, meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh iaitu kitab al-Risala. Kitab ini adalah yang terulung dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan dan mengistimbatkan hukum dari satu dalil yang ada. Selain itu Imam Syafie juga meninggalkan kitab feqhnya yang masyhur, al-Umm. Ajaran Imam Syafie diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Imam Abu Yakub al-Ruwati (231H/ 846M), Imam Rabi bin Sulaiman al-Marali (270H/884M), Imam Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M) dan terutama ialah Imam Ahmad bin Hambal (241H/856M).

Kesimpulan

Setelah kita mengetahui kealiman Imam Syafie, kefadhilan dan kelebihannya maka seharusnya kita tidak mengabaikan nasihat dan ajaran ilmunya serta mengambil kemanfaatan dari susah payah diri beliau mencari ilmu yang kemudiannya diperkembangkan usul dan fahamannya terhadap fiqh Islam serta manhaj Islam itu sendiri sehingga tersebarnya mazhab syafie yang bermakna pegangan usul syafie ra dalam fiqh Islam.

Maka wajarlah kita memegang benar nasihat beliau yang banyak mengajar kita supaya berpegang kepada Islam dengan ilmu dan menjauhi taqlid dan kejahilan seperti pesanan beliau :

"Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)"
(Sila rujuk Imam An-Nawawi dalam kitabnya "Al-Majmuk", m/s 63 / 2).

" Setiap Hadith dari Nabi Salallahulaihiwasalam itulah sebenarnya pendapat aku cuma sahaja mungkin kamu tidak mendengarkannya dari aku."
(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93).

"Barangsiapa yang bertaqlid pada mengharamkan sesuatu atau menghalalkan sesuatu dan jelas taqlidnya itu berlawanan dengan hadith dan kerana taqlidnya itu menyebabkan dia dilarang atau menyekatnya dari beramal dengan sunnah maka sesungguhnya dia telah mengambil orang yang ditaqlidnya itu sebagai tuhan selain dari Allah swt ."


" Dan sesungguhnya hadith nabi itu lebih utama, dan janganlah bertaqlid padaku”

(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93).

Dengarilah pesanan Imam Syafie dengan menuruti Al-Qur’an dan sunnah dan mengambil pertunjuk salaf soleh yang alim dan faham akan islam dnegan kefahaman yang sahih dan menjauhi taqlid buta dan ikutan jahil tanpa hujah dan dalil kerana itulah pesana para ulama dan perintah Islam kepada kita semua.


" Apakah kamu mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu ?" (Surah Al-Baqarah : 80).

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

No comments:

Post a Comment